Diskusi Ekonomi : Mengapa kita perlu kuasai dan peduli?

Penulis teruja untuk mengetahui kajian ilmu berkaitan ekonomi dan isu yang berlegar di sekitarnya lantaran pendedahan di Sekolah Pemikiran Muda (SPM). Kredit kepada penggerak SPM. Ilmu yang hadir ke jiwa mendedahkan kepada penulis bertapa dasyatnya pemikiran liberal kapitalisme menghilangkan sifat kasih sayang sesama manusia. Permasalahan ini makin melarat apabila digunapakai oleh seluruh negara di dunia ini.

Biarpun penulis bukanlah mahasiswa kelulusan ijazah Ekonomi, namun kepentingan mengetahui selok-belok berkaitan ekonomi amatlah penting di zaman ini. Jika kita mengabaikan samalah kita seperti “katak di dalam gelas kaca”. Diberi peluang untuk mendapatkan maklumat tetapi hanya suka dan lebih berminat untuk tunggu dan lihat, sedangkan hakikatnya dia dalam kesusahan.

Pendahuluan

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2010 pada 27 Oktober yang lalu oleh Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan perkaitan 3 elemen yang penting dalam belanjawan sebuah negara iaitu pertanian, industri dan perdagangan.

Antara ucapannya TGAHA menekankan peri penting sesebuah negara mengusahakan pertanian untuk memenuhi keperluan negara. Perkara ini juga penting sebagai plan bertindak yang bukan sekadar mencakupi keperluan negara tetapi dapat membantu negeri-negeri yang mengalami bencana alam.

Peruntukan yang besar dilakukan oleh negara maju seperti Amerika Syarikat, britain, Jepun, Perancis dan Jerman menjalankan pertanian secara menyeluruh untuk memastikan negara mereka stabil dan mengelak menjadi negara peminta sedekah kepada negara lain.

Laporan Audit Negara : Kesan aplikasi Ekonomi Barat

Kesan aplikasi kapitalisme terhadap ekonomi di Malaysia telah memberikan impak besar sehingga menyababkan riba’ berleluasa, monopoli bermaharajalela serta sogokan merata tempat.

Akhirnya Laporan Audit Negara baru-baru ini telah membuktikan keabsahan impak secara fakta yang tidak dapat dinafikan. Maklumat berkaitan laporan audit ini didapati artikel Business Times Singapore. Betapa negara jiran kita, Singapura memerhati secara serius berkaitan maklumat Audit Negara Malaysia. Beberapa data itu ialah:

a) Seorang perunding yang diberikan gaji yang terlalu tinggi sebanyak RM 121,000 untuk menyiapkan dewan orang ramai di Kota Belud, Sabah yang siap pada tahun 2005 tetapi kini perlu dibaiki dan tidak dapat digunakan sepenuhnya.

b) Syarikat PRASARANA yang bertanggungjawab meningkatkan pengangkutan awam di sekitar Lembah Kelang mengalami kerugian lebih 20 juta. Syarikat yang beroperasi sekitar 3 tahun lepas yang dibawah Timbalan Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop didapati membeli bas yang berkualiti rendah dan membeli tanah yang terlalu mahal di Cheras. Akhirnya, kerugian terkumpul bagi syarikat dibawah kementerian ini sejak 2005 hingga 2007 ialah 833 juta !

c) Laporan Ketua Audit Negara juga mencatatkan seorang kontraktor yang diberi gaji paling tinggi sebanyak hampir 20 juta untuk membangunkan sebuah taman laut di Selangor. Kini, apa yang terjadi dengan taman laut ini?

Penulis membaca karya editor sebuah majalah yang melobi dan memuji Perdana Menteri yang meleraikan pemilikan rumah pangsa DBKL dengan tawaran 44 146 unit rumah dengan harga RM 21 500 hingga RM 35 000. Pada rakyat, harga rumah ini tersebut berpatutan dan pemerintah sangat bermurah hati. Penulis bertanya, bagaimana dengan gaji seorang kontraktor yang mencecah RM 24 juta hendak berbandingkan harga seunit rumah? Berbaloi kah?

Pembaca juga menganalisis ucapan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkaitan Laporan Audit negara ini dengan mengambil tindakan akan diambil sama ada dalam bentuk pengadilan atau sekatan disiplin kerajaan. Kemudian beliau menyebut :

“Jika tidak, kita akan menyaksikan perkara yang sama ada dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun,”

Seriuskah Perdana Menteri kita berkaitan laporan audit ini dengan hanya sekadar melantik Tan Sri Sidek Hassan menerajui kajian laporan ini?

Krisis Ekonomi Dunia : Kesan terhadap Amerika Syarikat dan pengajaran di Jepun

Sukalah penulis hanya memberika fakta suntingan yang boleh pembaca teliti untuk dapatkan maklumat secara ringkas dan cepat.

Amerika Syarikat

a) Majalah perniagaan popular di New York, The Economist pada 4 Oktober 2008 telah memaparkan kenyataan Sarkozy yang berkata bahawa ideologi laissez-faire Amerika Syarikat seperti yang diamalkan mengalami krisis suprima baru-baru ini terlalu bahaya.

b) Perkataan yang sensitf mungkin mengejutkan Amerika Syarikat pada masa biasa, tetapi kini, bahkan Parti Republikan mula membincangkan terma “pemiliknegaraan”.

c) Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan yang selama ini mempercayai ideologi pasaran bebas, berkata campur tangan kerajaan merupakan satu-satunya alternatif yang ada untuk mengubal dasar tatkala Rumah Putih masih berpegang teguh pada pembankan yang dimiliki oleh pihak swasta adalah betul.

d) Beberapa penerbitan majalan di Amerika Syarikat mula mengetengah perdebatan tentang sosialisme seperti Majalah Atlantic dan The National Review mengatakan Obama sosialis manakala The Wall Street Journal menafikan beliau sosialis.

e) Sementara The New York Times melalui beberapa makalah mengemukakan pandangan yang berbeda. Ada yang menganggap Obama beliau demokrat sosial dan bukannya sosialis dan ada juga yang menganggap Presiden Amerika ini dalam perjalanan sosialisme.

Walaupun apa pun ideologi sebenar Obama, sosialis atau bukan sosialis, atau demokarat sosial nampaknya sosialisme yang tewas lebih satu dekad bangkit semula akibat krisis ekonomi global!

Jepun

a) Kemenangan Part Demokratik Jepun (DPJ) dalam pilihanraya pada 30 Ogos lalu ada berkaitan dengan krisis ekonomi yang melanda Jepun.

b) 2 hari sebelum pilihanraya kadar pengangguran di Jepun meningkat 5.7 % daripada 5.4 %.

c) Kadar eksport Jepun juga menurun sebanyak 36.5% berbanding tahun lepas. Eksport dua negara rakan perdagangan juga menurut iaitu China sebanyak 26.5% dan Amerika Syarikat susut 39.5%.

d) Penganalisis politik Jepun di Universiti Colombia, Gerald Curtis, menyifatkan Parti Demokrat Liberal (LDP) sebagai “mesin buruk” selepas Perang Dunia Kedua apabila gagal memenuhi keperluan rakyat.

Lihatlah betapa besarnya kesan ekonomi terhadap parti politik yang berkuasa selama 54 tahun digulingkan. Keberanian rakyat Jepun menonjolkan kesedaran politik yang tinggi berbanding pilihanraya yang lalu apabila mencatatkan 104 juta orang atau 70% rakyat keluar mengundi. Jumlah ini merupakan yang tertinggi sejak pilihanraya pada 1990.

Penguasaan Ekonomi bagi Bumiputera satu Fantasi?

Tempohnya sudah 19 tahun tetapi hanya mampu menguasai 19% pemilikan ekuiti bumiputra di Malaysia selepas Dasar Ekonomi baru (DEB). Itulah ayat permulaan penulis sebelum memberikan fakta berkaitan penguasaan bumiputera terhadap ekonomi negara. Percayalah bahawa populasi kaum bukan bumiputera 37% telah menguasai lebih 40% ekuiti ekonomi negara. Benarlah kaum bumiputera ketinggalan jauh kebelakang.

a) Bagi pemilikan syarikat, bumiputera hanya menguasai 20.3% berbanding 75.7% dikuasai oleh kaum bukan bumiputera. Bakinya dimiliki rakyat asing dengan menguasai 4%.

b) Untuk pemilikan bangunan komersial tetap dimonopoli oleh kaum bukan bumiputera sebanyak 83.3% berbanding penguasaan bumiputera sebanyak 11.7% sahaja.

c) Jurang ekonomi yang paling ketara ialah dari sudut sektor pekerjaan pengurusan tinggi dengan peratusan tertinggi dimiliki oleh kaum bukan bumiputera sebanyak 73% berbanding bumiputera 14% dan rakyat asing 13%. Lihatlah potensi peratusan rakyat asing mampu mengalahhkan peratusan bumiputera tidak lama lagi!

d) Berhubung dengan statistik pengangguran, peratusan ini dikuasai oleh kaum bumiputera sebanyak 73.3% berbanding dengan kaum bukan bumiputera sebanyak 26.7% sahaja.

e) Data yang wajar diteliti berkaitan pendapatan si rumah secara purata bagi kaum bumiputera ialah RM 2711 berbanding kaum Cina RM 4435. Purata pendapatan kaum India pula RM 3456 mengalahkan purata pendapatan kaum bumiputera. Apa sudah jadi?

f) Secara keseluruhannya, 76% kaum bumiputera berada pada tahap sosioekonomi paling rendah berbanding 23.3% kaum bukan bumiputera.

Menerusi data yang dikeluarkan, adakah anda selesa dengan penguasaan ekonomi oleh bumiputera sekarang? Berpuashati? Bukanlah penulis mengeluarkan data untuk menimbul sifat perkauman. Hanya untuk menyedarkan rakyat Malaysia khusunya Melayu yang masih buta dengan maklumat ini. Lihatlah dengan mata hati, anda akan menemui kebenarannya.

Inilah hasil analisis ringkas daripada penulis. Mungkin usaha sedikit ini mampu memberikan makna dalam kehidupan anda seharian.

0 comments: